Thursday, November 6, 2008
Kontrak Pawah Program Jangka Pendek
1. Setiap ternakan induk asal di bawah sistem pawah adalah milik peserta. Peranan penternak adalah mengurus dan membiakkan ternakan induk tersebut. Penternak juga perlu menyediakan seekor induk pejantan sebagai pemberi benih. Manakala setiap anak daripada induk tersebut adalah hak milik bersama peserta dan penternak. Ini berbeza berbanding skim pawah biasa di mana anak pertama adalah milik peserta dan anak kedua adalah milik penternak. Pihak Jempolfarm memilih untuk mengadakan pemilikan bersama kerana ianya memberi pulangan yang lebih cepat kepada kedua belah pihak.
2. Penternak tidak perlu menunggu sehingga kelahiran kedua untuk mendapat hasil. Peserta pula boleh mula mendapat hasil seawal anak kambing pertama kerana pemilikan adalah secara bersama (tidak perlu menunggu sehingga penternak mendapat hasil sendiri). Selain itu, skim begini memudahkan pengurusan rekod ternakan. Lebih baik lagi, skim ini tidak menjejaskan pembahagian keuntungan 50:50 diantara peserta dan penternak. Bagi penternak, hak milik bersama bermakna kami akan menjaga ternakan peserta seperti ternakan sendiri.
3. Pembahagian 50:50 merupakan yang terbaik bagi penternak dan peserta kerana ianya memberikan keuntungan yang seimbang. Bagi mencapai tujuan ini, pihak Jempolfarm akan memastikan bahawa di antara pihak peserta dan pihak kami menyumbangkan bahagian yang sama rata bagi memastikan kejayaan penternakan. Pihak peserta memberikan modal ternakan, manakala penternak menyediakan kos makanan, kandang, khidmat dan kepakaran menguruskan ternakan. Kepentingan kedua-dua pihak adalah dilindungi secara sah melalui undang-undang sekiranya berlakunya sesuatu di antara kedua belah pihak.
4. Harga setiap induk adalah RM1500 (Bagi baka boer F3 & F4) seekor. Harga ini mungkin berubah mengikut harga pasaran dan jenis baka induk.
5. Setiap peserta juga dikenakan tambahan RM 50 yang meliputi yuran pengurusan & guaman seumur hidup. (Bagi yang memerlukan perjanjian sahaja)
6. Setiap peserta akan diberikan satu akaun online (sedang dlm pembinaan) yang memaparkan senarai maklumat ternakan semasa termasuk induk asal dan hasil ternakan. Buat masa ini semua informasi akan diemail terus kepada peserta.
7. Setiap kelahiran akan dilaporkan oleh pihak Jempolfarm kepada peserta. Tindakan undang-undang boleh diambil berdasarkan perjanjian kontrak pawah untuk melindungi hak setiap peserta yang terlibat.
8. Pihak Jempolfarm akan melaporkan status ternakan di bawah jagaan kami setiap bulan sama ada melalui email ataupun sms.
9. Oleh kerana Jempolfarm mengamalkan pemilikan bersama untuk kesemua hasil ternakan, pihak peserta dan Jempolfarm berhak memasarkan ternakan mereka apabila mendapat permintaan. Perbincangan harus dilakukan di antara kedua-dua pihak sebelum sebarang keputusan dibuat.
10. Setiap ternakan yang ingin dijual mestilah sekurang-kurangnya telah bercerai susu. Harga ternakan yang ingin dijual bergantung kepada harga pasaran dan perbincangan antara Jempolfarm & peserta.
11. Tempoh minimum penjualan ternakan adalah selepas hasil pertama induk bercerai susu (kira-kira tiga(3) bulan selepas kontrak bermula). Manakala had umur maksimum ternakan untuk dipawah adalah tiga (3) tahun. Mana-mana ternakan yang mencapai usia tiga (3) tahun akan dipulangkan kepada peserta atau dijual. Bagi yang ingin menyambung pemawahan kontrak baru akan dilaksanakan tanpa sebarang bayaran permulaan, tetapi kos makanan setiap bulan akan dikenakan iaitu sebanyak RM30. Untuk pengetahuan ahli maksimum umur kambing atau kambing yang mampu bunting adalah 5 tahun.
12. Dalam hal pembahagian ternakan sekiranya peserta ingin menamatkan skim pawah dan mengambil ternakan secara hidup, jumlah hasil ternakan di bawah induk yang sama akan dibahagi dua. Walaupun hasil ternakan adalah di bawah pemilikan bersama, pembahagian boleh dilakukan dengan memberikan separuh bahagian pemilikan kepada satu pihak. Dalam hal ini, pembahagian ternakan secara hidup hanya boleh dilakukan sekiranya jumlah hasil ternakan adalah genap dengan minimum dua(2) unit ternakan.Ini bagi memastikan peserta dan penternak masing-masing mendapat seekor.
13. Peserta akan dinasihatkan untuk membayar zakat ternakan mengikut syarat dan peraturan penguasa agama Islam tempatan. Bagi pemilik bukan Islam, boleh memilih untuk menderma hasil ternakan mengikut kadar zakat atau terus menyimpan hasil ternakan.
14. Peserta pawah tidak terikat dengan mana-mana peraturan berkaitan dengan pemeliharaan ternakan dan menjadi tanggungjawab Jempolfarm sepenuhnya untuk menguruskan ternakan yang diberikan oleh peserta.
15. Pewaris yang dinamakan adalah berhak ke atas ternakan sebagaimana hak-hak tuan punya atas kapasiti pewaris.
16. Sebarang ternakan yang mati atau hilang disebabkan kecuaian Jempolfarm akan digantikan dengan ternakan yang setara.
17. Sebarang kematian ternakan juga akan dilaporkan kepada peserta pawah. Ini bagi memudahkan urusan penggantian ternakan peserta.
18. Sebarang kematian akibat bencana penyakit atau bencana alam yang mendapat pengesahan pihak jabatan haiwan atau pihak berkuasa, mana-mana pihak tidak berhak mendapat apa-apa gantirugi. Namun begitu, pihak Jempolfarm akan berusaha mendapatkan pampasan yang setimpal daripada kerajaan sekiranya peruntukan pampasan diwujudkan.
Konsep Pawah
Secara ringkasnya konsep pawah (inkubator) adalah dimana anda boleh menternak kambing secara sambilan iaitu dengan membeli induk-induk kambing kepada penternak untuk dipelihara secara komersil.
Hasil peliharaan kemudiannya akan dibahagi secara muafakat antara pengusaha pawah (inkubator) dan penternak iaitu melalui perjanjian yang dipersetujui bersama.
Monday, August 25, 2008
Pengenalan Sistem Pawah
Penternakan kambing mampu memberi pulangan yang lumayan kerana kambing membiak dengan cepat, iaitu pada kadar dua ekor setiap lapan atau sembilan bulan.
Pawah adalah versi moden dan bersesuaian dengan teknologi masa kini. Anda boleh memelihara kambing secara online dan mendapat pulangan lumayan.
Melalui sistem pawah, kami menggunakan teknologi masa kini bagi menjalankan operasi. Ianya akan merangkumi online database, online registration, online banking dan sebagainya. Secara nyata, anda tidak perlu berada dikandang kambing bagi memelihara kambing secara pawah online. Kami juga ingin meletakkan camera di ladang ternak kami, dimana tuan boleh melihat sendiri video ternakan tuan. Akan tetapi di kawasan tersebut buat masa ini belum mempunyai akses broadband.